Sabtu, 17 April 2010

dengan berzikir dap hati


Hati ibarat permata atau jauhar. Sekiranya elok dan bersih hati seseorang anak adam itu maka eloklah seluruh anggotanya. Jika buruk hati seseorang anak adam itu maka rosaklah seluruh anggotanya.

Hati ibarat raja yang memerintah anggota-anggota lain didalam badan. Anggota-anggota ini termasuklah tangan, mata,telinga diibaratkan sebagai tenteranya.

Perbuatan seseorang itu bergantung kepada hatinya. Sekiranya hati itu menyuruh ke jalan kebaikan maka anggota itu akan bertindak ke arah kebaikan. Begitu juga sebaliknya.

Allah SWT melihat hambanya pada zahir dan batin. Walaupun pada zahirnya seseorang hamba melakukan ibadat, namun Allah SWT melihat kepada batinnya. Ia itu sama ada hati hambanya ikhlas atau tidak semasa melakukan ibadat tersebut.

Janganlah menyangka bahawa seseorang yang memakai serban dan jubah, dengan wajahnya ada janggut yang kemas melambangkan kewarakan seseorang itu. Bagi kita mungkin percaya orang ini alim. Tetapi perlulah kita ingat dan sedar bahawa sekiranya hati orang ini tidak ikhlas beribadat, mempunyai sifat-sifat seperti ujub, riak dan sombong, maka sifat-sifat adalah penyakit hati yang akan merosakkan ibadatnya.

Hati yang dimaksudkan adalah hati kecil kita iaitu hati sanubari. Hati sekiranya tidak dibersihkan dengan zikirullah akan hilang cahayanya atau nur. Sekiranya hati bersih ibarat permata yang cahaya/nur terpancar di wajah anak adam itu.

Allah SWT memandang hambanya bukan kepada kecantikan, kekayaan mahupun kekuasaannya didunia tetapi kepada amalannya yang ikhlas dan hati hambanya yang bersih.

Orang yang dalam hatinya terpancar keimanan kukuh, akan selalu berusaha sepanjang usianya untuk bertaqarub kepada Allah SWT kerana didorong rasa cinta mendalam terhadapnya. Kasih sayang dan kecintaan kepada Allah SWT menjadikan seseorang itu sentiasa rindu kepadaNya.

Ditegaskan IBN TAIMIYAH:

"ZIKIR BAGI HATI ADALAH UMPAMA AIR BAGI IKAN, BAGAIMANA KEADAAN IKAN APABILA BERPISAH DARIPADA AIR?"

Inilah gambaran orang beriman, yakin percaya kepada Allah SWT dan menginsafkan diri tidak lebih sebagai seorang hamba yang sangat lemah selama ini menerima nikmat Allah SWT tidak terhitung banyaknya.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

"WAHAI ORANG BERIMAN, (UNTUK BERSYUKUR KEPADA ALLAH ) INGATLAH SERTA SEBUTLAH NAMA ALLAH DENGAN INGATAN SERTA SEBUTAN YG SEBANYAK-BANYAKNYA; DAN BERTASBIHLAH KAMU KEPADA-NYA PADA WAKTU PAGI DAN PETANG" (SURAH AL-AHZAB :41-42)

Ditegaskan oleh AL-IMAM AN-NAWAWI bahawa .....ZIKIR TIDAK TERBATAS KEPADA TASBIH, TAHLIL, TAKBIR DAN LAIN-LAIN ZIKIR LISAN, MEREKA YANG BEKERJA KERANA ALLAH SWT JUGA ORANG YANG BERZIKIR KEPADA ALLAH SWT.

Zikir terbahagi kepada 3 bahagian iaitu Zikit Hati, Lidah dan Anggota.

1. Zikir Hati memikirkan keagungan dan kebesaran Allah SWT di bumi, langit dan seluruh kejadian makhluknya.

2. Zikir Lidah pula melantunkan pujian kepada Allah SWT mensyukuri nikmat kurniaNya, menyeru masyarakat ke arah ajaran Islam, menerangkan kebaikan syarak, menjelaskan hikmah pada perintah dan larangan Allah SWT, memberi nasihat kepada sesama Islam.

3. Zikir Anggota pula menggunakan anggota badan untuk melakukan amalan ketaatan, sama ada dalam bentuk melakukan segala suruhan atau meninggalkan segala larangan Allah SWT.
Orang yang lupa atau lalai kepada Allah SWT, hatinya selalu dirundung resah gelisah, tenggelam dalam kebimbangan dan sengaja meletakkan dirinya di tempat mengundang kemurkaan Allah SWT lantaran tidak rasa bersalah terhadap kemungkaran dilakukan.
Lupa kepada Allah SWT menandakan hati seseorang itu sudah berkarat dengan sifat mazmumah yang sangat keji.

Orang beriman tidak akan membiarkan hatinya berkarat dan penuh dengan kekotoran, ia akan sentiasa mengilap hatinya dengan berzikir kepada Allah SWT.
IBNU AL-QAYYIM AL-JAUZIYAH pernah berkata:

“TIDAK DIMUNGKIRI BAHAWA HATI ITU DAPAT BERKARAT SEPERTI BERKARATNYA BESI DAN PERAK. ALAT YANG DAPAT MEMBERSIHKAN HATI BERKARAT ADALAH ZIKIR. ZIKIR DAPAT MEMBERSIHKAN HATI BERKARAT SEHINGGA DAPAT BERUBAH MENJADI BENING SEPERTI CERMIN YANG BERSIH. APABILA SESEORANG MENINGGALKAN ZIKIR, HATINYA AKAN BERKARAT. DAN APABILA IA BERZIKIR, HATINYA AKAN BERSIH".

Sesungguhnya seseorang yang lalai daripada mengingati Allah SWT bermakna dirinya dihinggapi penyakit sombong, lupa asal kejadian diri sebagai makhluk lemah yang diciptakan semata-mata supaya mengabdikan diri kepada Allah SWT dan mewarisi sifat orang munafik.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

"SESUNGGUHNYA ORANG MUNAFIK ITU MENIPU ALLAH DAN ALLAH AKAN MEMBALAS TIPUAN MEREKA. DAN, APABILA MEREKA BERDIRI UNTUK SOLAT, MEREKA BERDIRI DENGAN MALAS. MEREKA BERMAKSUD RIAK (DENGAN SOLAT) DI HADAPAN MANUSIA. DAN, TIDAKLAH MEREKA MENYEBUT ALLAH, KECUALI SEDIKIT SEKALI". (SURAH AN-NISA: 142)

Orang yang memperbanyakkan zikir, dosanya akan diampun sekali gus mendapat ganjaran pahala besar seperti firman Allah SWT yang bermaksud:

"LELAKI DAN PEREMPUAN YANG BANYAK MENYEBUT (NAMA) ALLAH, AKU SUDAH MENYEDIAKAN UNTUK MEREKA AMPUNAN DAN PAHALA YG BESAR". (SURAH AL-AHZAB : 35)

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

"INGATLAH, HANYA DENGAN MENGINGATI ALLAH HATI MENJADI TENTERAM". (SURAH AL-RA'AD : 28)

Jangan sibuk dengan urusan lupa kepada Allah SWT. Sesunggu Allah SWT melarang keras seseorang memiliki sifat lalai seperti ditegaskan firman Allah SWT bermaksud:

"JANGANLAH KAMU TERMASUK ORANG-ORANG YANG LALAI". (SURAH AL-A'RAF : 205)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar